1,000 unit rumah setahun disasarkan atas lot RPT

IPOH - Inisiatif Rumah Ibu menyasarkan pembinaan sekurang-kurangnya 1,000 unit kediaman setahun di atas lot Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) di Perak dalam tempoh lima tahun akan datang.
Presiden Rumah Ibu Sdn Bhd, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, inisiatif itu membabitkan 66 kawasan RPT dengan keseluruhan 6,995 lot tanah yang dikenal pasti berpotensi dibangunkan.
"Setakat ini, dua projek perintis telah dimulakan di RPT Changkat Kinding (Tambun) dan RPT Bemban (Batu Gajah) dengan 244 pemilik tanah sudah berdaftar.
"Kami sedang dalam proses mendapatkan kelulusan pelan bangunan untuk membina sebuah rumah contoh di Changkat Kinding serta lima unit di Bemban,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Peluncuran Inisiatif Pembaharuan Semula RPT di sini pada Sabtu.
Kamarul Rashdan berkata, inisiatif Rumah Ibu juga membantu pemilik tanah menguruskan proses kelulusan pihak berkuasa tempatan, pembiayaan bank atau institusi kewangan lain termasuk skim sewa beli.
"Pemilik tanah RPT sangat beruntung kerana ketika ini peluang membeli tanah banglo baharu semakin terhad dengan harga yang tinggi.
"Jika mereka membangunkan rumah di atas tanah sendiri, nilainya akan meningkat selain dapat digunakan sebagai kediaman keluarga atau sumber pendapatan melalui penyewaan," katanya.
Beliau menambah, pihaknya akan menggerakkan jelajah RPT ke seluruh Perak untuk bertemu terus dengan pemilik tanah bagi pendaftaran skim berkenaan.
Inisiatif Rumah Ibu adalah program kerjasama dengan Kerajaan Perak untuk membantu golongan B40 dan M40 terutama pemilik tanah di RPT yang belum membina kediaman.
Ia menyediakan rumah baharu mampu milik bermula RM98,000 melalui pilihan rumah dan model pembiayaan yang fleksibel untuk kesejahteraan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

