Mercedes terbabas masuk parit, tiada mangsa ditemui

Anggota bomba memeriksa kereta berkenaan dalam operasi menyelamat.
Anggota bomba memeriksa kereta berkenaan dalam operasi menyelamat.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Sebuah kereta jenis Mercedes dipercayai terbabas sebelum masuk ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Changkat di sini pada malam Jumaat.

Bagaimanapun, tiada mangsa ditemui dalam kenderaan berkenaan ketika pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.47 malam.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal bersama sebuah jentera LFRT dan Unit Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi.

“Ketika pasukan tiba pada jam 11.01 malam, pemeriksaan mendapati sebuah kereta Mercedes berada di dalam parit namun tiada mangsa ditemui,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati pemandu kenderaan terbabit telah membuat laporan polis pada sebelah petang sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak bomba.

“Perbincangan bersama pihak polis yang turut berada di lokasi mendapati kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada jam 11.23 malam,” jelasnya.

Turut berada di lokasi ialah pasukan polis dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu pemantauan.

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!