Kegagalan bukan pilihan, calon SPM perlu berusaha gigih – Al-Sultan Abdullah

Al-Sultan Abdullah (tiga dari kiri) dan Tengku Hassanal (tiga dari kanan) bersama pelajar pada program road Tour Skor A SPM Pahang dan Program Tuisyen Komuniti Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA)-Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2025 di Kompleks Sukan UMPSA pada Sabtu.
Al-Sultan Abdullah (tiga dari kiri) dan Tengku Hassanal (tiga dari kanan) bersama pelajar pada program road Tour Skor A SPM Pahang dan Program Tuisyen Komuniti Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA)-Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2025 di Kompleks Sukan UMPSA pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa kegagalan bukanlah pilihan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya mereka perlu berusaha gigih demi mencapai kejayaan.

Baginda bertitah, semua pelajar perlu menanam tekad untuk memperoleh keputusan cemerlang.

“Kegagalan itu bukan sesuatu yang opsyenal. Ingat itu, dalam apa sahaja kerja… kita mesti lakukan dengan sebaik mungkin dan mesti berjaya.

“Semoga semua anakanda berjaya dengan cemerlang sekali, sasar mesti dapat A+,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan melancarkan Program Road Tour Skor A+ SPM Pahang dan Program Tuisyen Komuniti Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA)-Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2025 di Kompleks Sukan UMPSA, di sini, pada Sabtu.

Berangkat sama, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Program yang berlangsung pada 6 dan 7 September itu memberi fokus kepada strategi pembelajaran berkesan, teknik menjawab soalan dan pengukuhan motivasi pelajar bagi meningkatkan pencapaian akademik menjelang peperiksaan SPM.

Program anjuran YASA dengan kerjasama strategik PTTI Group Sdn Bhd ini menghimpunkan lebih 2,000 calon SPM dari seluruh Pahang.

Seminar itu bakal menjelajah ke 198 sekolah menengah di seluruh negeri bermula Januari hingga Jun 2026 agar manfaat pendidikan dapat dirasai secara menyeluruh oleh semua calon SPM.

Artikel Berkaitan:

Bagi peserta SMK Paloh Hinai, Nor Afina Syazana Nor Affri, 17, peluang menyertai kelas Matematik dan Matematik Tambahan amat berharga kerana tenaga pengajar berpengalaman memperkenalkan formula baharu yang mudah difahami.

“Kali pertama sertai memang rasa bagus, banyak ilmu baharu dipelajari, lebih yakin dan dapat kenal ramai kawan. Kalau boleh, saya mahu program ini diteruskan,” katanya yang hadir bersama 13 rakan sekolahnya.

Sementara itu, pelajar SMK Sultan Ahmad (Sekolah Kluster), Mohamad Maziz Sofeyan Mohamad, 16, berkata, pengisian program memberi kesan besar terhadap persiapan pelajar.

Jelasnya, ia membantu mereka mengulang kaji dengan lebih tersusun, memperkenalkan teknik baharu dan memudahkan pemahaman.

“Ilmu ini sangat berguna untuk persediaan menghadapi peperiksaan besar tahun depan. Jadi, saya harap program ini diteruskan pada tahun akan datang kerana terbuka kepada semua pelajar dan mampu meningkatkan pencapaian akademik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!