Remaja perempuan maut, lapan cedera insiden tikaman beramai-ramai di Kanada

Suspek terbunuh dalam perlanggaran dengan kenderaan RCMP yang sedang bertindak balas terhadap insiden tersebut.
Suspek terbunuh dalam perlanggaran dengan kenderaan RCMP yang sedang bertindak balas terhadap insiden tersebut.
A
A
A

MANITOBA - Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun terbunuh manakala lapan lagi cedera dalam insiden tikaman beramai-ramai yang menggemparkan komuniti Hollow Water First Nation, kira-kira dua jam dari Winnipeg, Kanada.

Kejadian berlaku awal pagi Khamis apabila suspek dikenali sebagai Tyrone Simard, dipercayai melancarkan serangan bersenjata di beberapa kediaman dalam kawasan terpencil itu.

Menurut pihak polis, Simard melarikan diri dengan kenderaan curi sebelum terbunuh dalam perlanggaran dengan kenderaan RCMP yang sedang bertindak balas terhadap insiden tersebut.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai adik perempuan suspek sendiri, menjadikan tragedi ini lebih memilukan bagi keluarga terlibat.

Antara yang cedera termasuk Michael Raven, seorang penduduk tempatan yang ditikam ketika sedang tidur di rumahnya.

Beliau mengalami kecederaan serius termasuk paru-paru yang tertusuk dan turut dipukul dengan botol kaca.

Pasukan perubatan mengaktifkan kod jingga di Hospital Sains Kesihatan Winnipeg, menandakan situasi kecemasan dengan kemasukan pesakit secara besar-besaran.

Dua mangsa diterbangkan menggunakan helikopter ambulans udara, manakala enam lagi dihantar melalui jalan darat.

Pihak berkuasa mengesahkan tiada lagi ancaman terhadap keselamatan awam, namun jalan utama di sekitar Hollow Water ditutup sementara bagi siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Komuniti Anishinaabe itu kini dalam keadaan trauma, dengan ramai penduduk menyatakan insiden ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan amat mengejutkan bagi kawasan yang biasanya aman.

RCMP dijangka mengadakan sidang media bagi memberikan maklumat lanjut berhubung siasatan dan latar belakang suspek.

Setakat ini, motif serangan masih belum diketahui, namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan faktor peribadi atau gangguan mental.

Insiden ini menambah senarai tragedi keganasan domestik yang semakin membimbangkan di Kanada dan mencetuskan semula perbincangan mengenai keselamatan komuniti terpencil serta sokongan kesihatan mental di kawasan luar bandar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!