Kesal dihina miskin, remaja bunuh kekasih di bilik sewa

BINJAI – Seorang wanita ditemukan maut di sebuah bilik sewa di Binjai, Sumatera Utara selepas dipercayai dibunuh teman lelakinya gara-gara menghina suspek sebagai miskin.
Mangsa dikenali sebagai Atmini, 32, ditemui tidak bernyawa pada Jumaat lalu kira-kira jam 1 petang waktu tempatan. Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Bhayangkara, Sumatera Utara untuk dibedah siasat.
Ketua Polis Binjai, Bambang C Utomo berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 19 tahun yang dikenali dengan RUS telah mencekik mangsa sehingga mati.
“Motif pembunuhan berpunca daripada rasa sakit hati kerana mangsa menghina suspek dengan panggilan miskin. Kedua-duanya juga sedang mempunyai hubungan kekasih,” katanya pada Sabtu.
Menurut beliau, selepas memastikan mangsa meninggal dunia, suspek melarikan diri dengan menggunakan aplikasi e-hailing sebelum menjual telefon bimbit milik mangsa.
Polis berjaya menahan RUS pada malam kejadian, kira-kira jam 11.30 malam, hasil maklumat orang awam.
“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut. Dia disiasat mengikut Pasal 338 KUHP atau Pasal 365 ayat (3) dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun,” jelas Bambang.
Kes itu mengejutkan penduduk setempat dan polis merakam penghargaan kepada orang ramai atas bantuan menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya diberkas dalam tempoh singkat.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

