Kualiti BPT dipertikai, saran subsidi RM150 juta disalurkan kepada pesawah

ALOR SETAR – Kualiti Beras Putih Tempatan (BPT) yang berada di pasaran selepas pelaksanaan subsidi terus menjadi pertikaian dalam kalangan pengguna apabila didakwa cepat basi, berbau dan menghasilkan nasi yang lembik.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung mutu beras tersebut walaupun harganya lebih murah, iaitu sekitar RM26 bagi 10 kilogram.
“Beras ini dinyatakan mengandungi beras hancur antara lima hingga 15 peratus, namun pengguna mendakwa ia jauh melebihi kadar itu. Ini menjejaskan kualiti dan menyebabkan nasi cepat rosak,” katanya pada sidang akhbar petang Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai keperluan meneruskan subsidi BPT bagi memastikan harga yang lebih rendah dapat dinikmati oleh rakyat yang memerlukan.
Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, penamatan subsidi berkenaan bakal memberi kesan terhadap kos sara hidup rakyat.
Cake turut melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan beras tempatan dicampur dengan beras hancur yang diimport dari Vietnam, Indonesia dan Thailand.
“Kami percaya aktiviti mencampur beras masih berlaku. Beras yang dikeluarkan oleh petani kita dalam keadaan baik, tetapi apabila sampai ke pengguna, kualitinya merosot. Ini menimbulkan persoalan besar,” ujarnya.
Sehubungan itu, Cake mencadangkan agar subsidi RM150 juta yang disalurkan kepada pengilang diberikan terus kepada pesawah yang merupakan golongan berpendapatan rendah.
“Pesawah berdepan kos tinggi untuk menanam padi seperti diesel, baja dan racun. Mereka adalah watak utama dalam menjamin keselamatan makanan negara, namun anak muda semakin kurang berminat untuk menceburi bidang ini,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, walaupun Akta 522 membenarkan pencampuran beras ini, pihaknya merasakan ia tidak adil kerana melibatkan kemasukan beras gred rendah dalam kuantiti banyak.
Menurutnya, walaupun tidak menafikan ada syarikat yang tidak melakukan perkara sedemikian, aduan ramai pengguna menunjukkan kualiti BPT yang dijual di pasaran menjadi persoalan.
“Penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga tidak membeli beras tersebut disebabkan oleh kualitinya yang kami syak memang dicampur dengan beras import yang mana grednya diturunkan,” katanya.
Beliau melihat subsidi BPT kepada pengilang tidak memberi kesan positif kepada pengguna dan bersetuju jika ia dialirkan terus untuk kebajikan para petani, susulan penyasaran subsidi diesel yang telah meningkatkan kos pengeluaran padi sehingga 55 peratus.
“Kami memerlukan RM1.50 untuk menghasilkan sekilogram padi. Jika satu tan melibatkan RM1,500, ia bersamaan dengan harga belian semasa. Walaupun kerajaan menaikkan harga belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500, ia masih belum cukup menampung kenaikan kos tersebut,” ujar beliau.
Beliau turut menyarankan agar harga beras diapungkan seperti yang dilakukan oleh negara jiran, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada subsidi kerajaan.
Dalam pada itu, Cake dan PeSAWAH turut mencadangkan agar harga beras diselaraskan bagi menjamin keberadaan beras di pasaran dan mengambil kira kenaikan harga padi di peringkat petani.
Mereka juga mahu kerajaan menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta 522 bagi menjamin kualiti beras yang sampai kepada pengguna adalah berkualiti.
Kawalselia Padi dan Beras perlu bertindak tegas ke atas pengilang-pengilang yang menyeleweng serta memanipulasi harga dan kualiti beras.
Pada masa sama, kedua-dua badan bukan kerajaan itu tidak bersetuju dengan pengenalan Beras Putih Campuran (BPC) iaitu campuran BPT dan Beras Putih Import (BPI) kerana dikhuatiri bakal menjejaskan industri sekuriti makanan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

