Pegawai kastam rugi RM30,000 ditipu 'penjawat awam' Putrajaya

AA Anbalagan
AA Anbalagan
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerugian sebanyak RM30,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, wanita berusia 45 tahun itu dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai penjawat awam di Putrajaya.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dalam satu kes jenayah pengubahan wang haram sebanyak RM210,000.

"Mangsa juga diberitahu bahawa kes itu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Susulan itu, suspek meminta mangsa memberi kerjasama dalam meneruskan siasatan kes tersebut.

"Mangsa diminta memberi semua 'username' dan kata laluan akaun banknya. Tanpa berfikir panjang, mangsa hanya menuruti semua arahan suspek itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Anbalagan berkata, selepas memberi semua maklumat akaun bank kepada suspek, mangsa menerima mesej daripada bank memaklumkan wangnya sejumlah RM30,000 telah dipindahkan ke sebuah akaun bank milik seorang lelaki.

"Difahamkan mangsa berada dalam keadaan kelam-kabut ketika memberikan semua butiran akaun bank kepada suspek. Dia hanya menyedari dirinya ditipu selepas menerima mesej dari bank.

"Mangsa membuat laporan polis untuk siasatan dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel Berkaitan: