Transformasi Symphony Life kekal di landasan tepat

Datuk Kenneth Vun
Datuk Kenneth Vun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Transformasi Symphony Life Berhad kekal berada di landasan yang kukuh kerana disokong oleh pelaksanaan berterusan amalan tadbir urus yang mantap serta pelaporan kewangan yang telus.

Pengarah Urusan, Datuk Kenneth Vun dalam satu kenyataan turut mengesahkan Ernst & Young PLT telah secara sukarela meletakkan jawatan sebagai juruaudit luar melalui notis bertarikh 29 Ogos 2025.

Beliau turut mengumumkan Ketua Pegawai Kewangan, Wong Mei Sin telah meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Ogos 2025 untuk meneruskan haluan kerjaya peribadi.

Beliau berkata, kedua-dua peletakan jawatan tersebut adalah bebas, tidak berkaitan, serta tidak melibatkan sebarang isu kebimbangan atau perselisihan dengan Lembaga Pengarah atau syarikat.

"Symphony Life sedang melalui fasa pembaharuan dan perubahan ini merupakan sebahagian daripada langkah penetapan semula yang lebih luas ketika kami memperkukuhkan tadbir urus, kepimpinan kewangan serta disiplin operasi," katanya pada Rabu.

Menurut Kenneth lagi, mereka sedang dalam proses melantik juruaudit luar yang baharu bagi memastikan kesinambungan serta mengekalkan piawaian tertinggi akauntabiliti.

"Agenda transformasi kami jelas, kami sedang membina organisasi yang lebih efisien dan kukuh dengan komitmen penuh terhadap keuntungan mampan serta pertumbuhan berterusan," katanya.

Bagi suku berakhir 30 Jun 2025, Symphony Life mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.22 juta dengan hasil berjumlah RM10.02 juta, sekali gus berjaya membalikkan kerugian yang direkodkan pada tahun-tahun kewangan sebelumnya.

"Ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha pemulihan Symphony Life dan menonjolkan kejayaan awal strategi penetapan semula syarikat," kata Kenneth.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kenneth lagi, Symphony Life telah menonjolkan kejayaan awal strategi penetapan semula syarikat.

"Ketika syarikat melangkah ke fasa seterusnya, Symphony Life kekal fokus terhadap ketelusan, akauntabiliti dan penciptaan nilai pemegang saham, sekali gus memposisikan diri untuk pertumbuhan jangka panjang serta daya tahan yang mampan," katanya.

Symphony Life Berhad ialah sebuah pemaju hartanah tersenarai awam di Malaysia dengan pengalaman lebih 60 tahun dalam membangunkan projek kediaman, komersial dan pembangunan bercampur.

Dikenali kerana komitmen terhadap kualiti, inovasi dan reka bentuk berorientasikan gaya hidup, Symphony Life terus membentuk landskap bandar Malaysia dengan komuniti yang bersedia untuk masa depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!