Pembangkang kesal ceramah Ustaz Wadi di Masjid Sri Sendayan dibatalkan

Program Ustaz Wadi Healing De'Masjid yang sepatutnya berlangsung di Masjid Sri Sendayan, Seremban pada Sabtu ini dibatalkan.
Program Ustaz Wadi Healing De'Masjid yang sepatutnya berlangsung di Masjid Sri Sendayan, Seremban pada Sabtu ini dibatalkan.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker meluahkan rasa kesal dan terkejut berikutan ceramah pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar yang dijadualkan berlangsung di Masjid Sri Sendayan pada Sabtu ini, dibatalkan.

Beliau mendakwa pembatalan program ‘Healing de’ Masjid’ itu berpunca daripada kegagalan mendapatkan kelulusan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Menurutnya, menerusi video yang dimuat naik di media sosial, Ustaz Wadi memaklumkan bahawa segala persiapan telah dibuat dengan rapi, selain turut mendakwa sudah menerima surat tauliah untuk menyampaikan ceramah.

“Saya melihat ini suatu bentuk campur tangan yang melampau kerana pembatalan dibuat secara tiba-tiba, sedangkan kehadiran Ustaz Wadi sebagai penceramah utama bagi program itu telah mendapat kelulusan MAINS.

“Ia amat dikesali kerana kerajaan negeri masih didukungi oleh majoriti wakil rakyat beragama Islam,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, pembatalan tersebut seolah-olah menunjukkan ada pihak yang tidak senang dengan kelangsungan program itu, sekali gus boleh dianggap sebagai satu bentuk gangguan terhadap syiar Islam di Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, Hanifah mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam negeri bertindak tegas dan tampil memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung isu berkenaan.

Menerusi keratan video yang dikongsikan di Facebook Ratu Naga, Ustaz Wadi memaklumkan bahawa beliau telah membuat persiapan penuh bagi program berkenaan, termasuk tempahan penginapan di kawasan tersebut untuk dirinya dan pasukan.

Dalam video sama, beliau turut mendakwa bahawa pihak Jabatan Mufti telah mengeluarkan tauliah mengajar selama setahun, namun menerima arahan agar program tersebut dibatalkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada MAINS berhubung isu pembatalan program berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!