Malaysia zahir dukacita terhadap Afghanistan, Sudan

Keadaan rumah penduduk yang rosak selepas gempa bumi di perkampungan Mazar Dara di daerah Nurgal, wilayah Kunar di Afghanistan Timur - Foto: AFP, gambar kecil: Anwar
Keadaan rumah penduduk yang rosak selepas gempa bumi di perkampungan Mazar Dara di daerah Nurgal, wilayah Kunar di Afghanistan Timur - Foto: AFP, gambar kecil: Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian gempa bumi yang melanda Afghanistan sehingga mengorbankan ramai nyawa dan meninggalkan keluarga mangsa dalam kesedihan serta kesusahan.

Beliau turut melahirkan rasa pilu apabila dimaklumkan mengenai kejadian tanah runtuh serius di Sudan yang meragut lebih 1,000 nyawa.

“Doa dan ingatan saya bersama semua yang kehilangan insan tersayang,” katanya menerusi hantaran di laman sosial rasmi beliau pada Rabu.

Dalam kenyataan itu juga, Anwar menegaskan Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Afghanistan dan Sudan dalam menghadapi detik penuh duka dan kesedihan ini.

Gempa bumi berukuran 6 magnitud melanda bahagian timur Afghanistan pada 11.47 malam waktu tempatan, 31 Ogos lalu dengan pusat gempa terletak 27 kilometer timur laut Jalalabad, ibu kota wilayah Nangarhar, pada kedalaman lapan kilometer.

Laporan rasmi menyatakan lebih 1,400 nyawa terkorban, lebih 3,000 cedera dan ribuan rumah musnah, menjadikannya antara bencana alam paling dahsyat di negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Di Sudan pula, tanah runtuh besar-besaran menghancurkan sepenuhnya Kampung Tarasin di kawasan Pergunungan Marrah, Darfur.

Insiden yang berlaku Ahad lalu dipercayai menyebabkan lebih 1,000 orang maut, dengan hanya seorang yang terselamat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!