X

Kindly register in order to view this article
!

MAIPs bantu asnaf terjejas akibat Covid-19

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
A
A

KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited membantu golongan asnaf terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, urusan utama membabitkan asnaf diteruskan meskipun terpaksa menangguhkan urusan di kaunter pejabat MAIPs bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Baginda bertitah, MAIPs mengambil langkah alternatif dengan membuka kaunter di pos pengawal Bangunan MAIPs untuk urusan mengagih dan menerima borang permohonan zakat daripada warga asnaf.

"Kaunter berkenaan turut dibuka untuk memberi perkhidmatan lain termasuklah semakan status permohonan bantuan, penyata sumbangan penyumbang, permohonan sewaan hartanah, aduan asnaf termasuklah sumbangan zakat, wakaf dan sumber am tetap boleh diteruskan melalui perkhidmatan atas talian di portal MAIPs www.maips.gov.my.

"Usaha ini adalah manifestasi komitmen MAIPs dalam melaksanakan amanah agihan zakat, bahkan turut melaksanakan pergiliran tugas untuk program turun padang dalam kes-kes kecemasan atau bencana selain turut membuka kaunter bantuan terhad di Masjid Alwi, Kangar bermula 18 Mac lalu." titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, MAIPs turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM618,000 agihan zakat di bawah Program Agihan Ziarah Dakwah Bil Hal kepada masjid-masjid seluruh Perlis sebagai langkah memudahkan penyaluran bantuan.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM154,500 dikhaskan untuk membantu golongan asnaf yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan seperti penjaja kecil, buruh harian dan seumpamanya sebagai langkah bantuan kecemasan untuk pembelian makanan dan keperluan terdesak mereka," katanya.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan adalah kesinambungan daripada program yang dijalankan sebelum ini demi memberi bantuan segera demi membolehkan pembelian makanan atau kecemasan dilakukan.

Mohd Nazim berkata, penduduk boleh mendapatkan bantuan berkenaan dengan hanya perlu bertemu amil atau Jawatankuasa Kariah masjid-masjid berdekatan di seluruh negeri ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus