Cemburu punca peniaga wanita maki hamun pengusaha pusat kecantikan

AMPANG – Rasa cemburu dan masalah peribadi dipercayai menjadi punca seorang peniaga wanita bertindak memarahi serta mengeluarkan kata kesat terhadap seorang pengusaha pusat kecantikan di Taman Dagang di sini pada 26 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pengadu berusia 58 tahun mendakwa suspek telah datang ke premisnya kira-kira jam 9.45 malam.
“Suspek yang merupakan peniaga di aras sama telah memarahi pengadu sambil menjerit dan mengeluarkan kata kesat hingga menimbulkan ketakutan kepada pelanggan yang berada di dalam kedainya, selain orang awam sekitar lokasi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Azam berkata, susulan laporan dibuat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya berjaya menahan suspek berusia 46 tahun di kawasan Ampang pada jam 5 petang, Khamis lalu.
"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
"Motif kejadian adalah masalah peribadi suspek dengan pengadu, suspek didakwa sering bercerita perkara buruk pada keluarga peniaga pusat kecantikan itu dan cemburu berkenaan perniagaan masing-masing," katanya.
Beliau berkata, suspek direman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
