Cabaran berliku pemilik Dad Carwash

Berkat usaha tanpa putus asa, Ashwad berjaya dalam perniagaan pusat cucian kereta dinamakan Dad Carwash yang beroperasi di Pusat Komersial Ayer Keroh.
Berkat usaha tanpa putus asa, Ashwad berjaya dalam perniagaan pusat cucian kereta dinamakan Dad Carwash yang beroperasi di Pusat Komersial Ayer Keroh.
A
A
A

PERJALANANNYA mencari rezeki penuh berliku, pernah ditipu hingga terpaksa menanggung kerugian lebih RM40,000 ketika cuba mengembangkan perniagaan basikal yang menjadi impiannya.

Berkongsi cerita pahit itu, Ashwad Abd Rahim, 33, berkata, segalanya bermula selepas dia tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut anak jati negeri Melaka itu, dia kemudiannya menceburkan diri dalam bidang pelancongan dengan menawarkan perkhidmatan menyewa basikal di lokasi pelancongan seperti di Kuantan, Pahang dan sekitar bandar Melaka.

Ashwad
Ashwad

"Melihat sambutan yang menggalakkan, saya bercadang mahu menambah bilangan basikal, jadi saya berhubung terus dengan pembekal dari China.

"Malangnya, saya ditipu oleh pihak pembekal di sana selepas melunaskan bayaran sebanyak RM40,000. Wang pusingan modal yang saya simpan selama beberapa tahun hilang begitu sahaja," katanya.

Menurut Ashwad, dia mengambil masa untuk bangkit semula dan yakin bahawa kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa kesabaran serta kegigihan.

Tambahnya, pada 2020 dia mendapat idea untuk menceburi perniagaan cuci kereta yang beroperasi di Klebang, namun sekali lagi gagal disebabkan kakitangan yang tidak mahir menguruskan operasi perniagaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dua pekerja Dad Carwash sedang mencuci kereta pelanggan.
Dua pekerja Dad Carwash sedang mencuci kereta pelanggan.

"Dalam kesempitan itu, seorang rakan menawarkan peluang untuk bekerja dalam bidang sanitasi ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

"Bermula dari situlah saya berusaha mengumpul modal sebelum bangkit semula untuk membuka perniagaan yang saya minat iaitu cucian kereta," katanya.

Berkat usaha tanpa putus asa, Ashwad akhirnya berjaya membina sebuah pusat cucian kereta berkonsepkan car wash & detailing yang dinamakan Dad Carwash, beroperasi di Pusat Komersial Ayer Keroh.

"Walaupun pada tahun pertama dan tahun kedua agak sukar untuk mendapat pulangan modal tetapi saya masih bertahan, lebih-lebih lagi ketika itu berdepan pandemik.

"Alhamdulillah, walaupun berdepan pelbagai cabaran, sehingga kini Dad Carwash masih 'teguh' dan beroperasi dengan bantuan empat pekerja," katanya.

Dad Carwash yang beroperasi di Pusat Komersial Ayer Keroh.
Dad Carwash yang beroperasi di Pusat Komersial Ayer Keroh.

Tambahnya, dalam tempoh itu juga, dia sekali lagi ditipu, kali ini dalam pelaburan mata wang asing dengan kerugian lebih RM30,000 sehingga ada rakan yang menjauhkan diri.

Namun katanya, semua itu tidak dianggap 'kudis' untuk berjaya, sebaliknya dijadikan pengajaran dan pemangkin semangat untuk lebih maju meneruskan perniagaan diusahakan.

"Saya pernah merasai kehidupan yang sangat susah, nak dapatkan RM100 pun payah.

"Tapi saya kuatkan diri, kumpul semula semangat dan pengalaman. Syukur kerana pelanggan sentiasa ada kerana saya mementingkan perkhidmatan yang berkualiti," katanya.

Tambah Ashwad, selain pekerja yang mahir dan berpengalaman, pelanggan juga disediakan ruang menunggu berhawa dingin dan lebih selesa di tingkat satu bangunan cuci kereta tersebut.

"Alhamdulillah, saya mampu meraih pendapatan antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan," katanya yang merancang membuka satu lagi cawangan di bandar Melaka tidak lama lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!