Giliran Kuching jadi tuan rumah Jelajah Karnival KPDN 2025

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneruskan siri Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia ke Zon Sarawak.

Acara berkenaan akan berlangsung selama tiga hari, bermula 5 hingga 7 September 2025 di Waterfront Kuching, dengan pelbagai aktiviti menarik bakal menanti semua lapisan masyarakat.

Dijangkakan karnival tersebut bakal menarik ribuan pengunjung dari seluruh negeri Sarawak dan menjadi platform utama untuk menyampaikan maklumat mengenai inisiatif kerajaan di bawah KPDN. Dalam masa sama juga penganjuran karnival itu mampu memperkasakan ekonomi dan komuniti setempat.

Pelbagai aktiviti, tarikan menarik

Antara tarikan utama karnival ini termasuk Jualan RAHMAH MADANI dan Menu RAHMAH. Jualan RAHMAH MADANI menawarkan barangan keperluan harian dengan harga 10 hingga 30 peratus lebih murah, manakala Menu RAHMAH pula menawarkan makanan pada harga tidak melebihi RM5.

Pengunjung juga boleh menyokong produk tempatan melalui Kempen Beli Barangan Malaysia - Jom Beli Lokal yang menfokuskan kepada produk-produk keluaran usahawan tempatan negeri Sarawak.

Pelbagai gerai dan reruai pameran akan dibuka bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan.

Bagi mereka yang mencari pekerjaan, Karnival Kerjaya juga akan diadakan dengan kerjasama pihak PERKESO, menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dari sektor awam dan swasta.

Karnival ini juga akan dimeriahkan dengan pengisian pelbagai program hiburan termasuk pertandingan bintang lokal dan bintang kecil serta persembahan artis tempatan di pentas utama. Selain itu, turut diadakan pertandingan Band Showdown, Gusti Lengan, E-games, eksplorasi yang boleh disertai orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Menangi hadiah cabutan bertuah, masuk percuma

Sebagai tarikan utama, pengunjung berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah lumayan seperti sebuah kereta Proton S70, Perodua Alza, dan motosikal Modenas Kriss.

Kemasukan ke karnival adalah percuma dan orang ramai dijemput hadir bersama keluarga untuk menikmati pelbagai aktiviti yang ditawarkan, sambil menyokong produk tempatan dan inisiatif kerajaan.

Karnival ini akan berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada hari Ahad, ia akan berakhir pada jam 6.00 petang.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Jom beli lokal, Ikhtiar K.I.T.A Untuk Semua!

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!