Helikopter bawa 8 penumpang terputus hubungan

BANJARBARU – Sebuah helikopter dengan nombor penerbangan BK 117-D3 yang membawa lapan penumpang termasuk dua juruterbang dilaporkan terputus hubungan di Daerah Mantewe, Tanah Bumbu, Kalimantan Selatan.
Ketua Pejabat Basarnas Banjarmasin, I Putu Sudayana mengesahkan kehilangan hubungan itu berdasarkan koordinat terakhir helikopter berkenaan, iaitu kira-kira empat kilometer dari Air Terjun Mandin Damar pada koordinat 3°6'54.58"S 115°41'21.62"E.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Basarnas Banjarmasin dijangka tiba di Mantewe menjelang malam dan akan terus memulakan operasi pencarian di lokasi terakhir.
Sudayana berkata, “Pasukan penyelamat Batulicin dan anggota dari pejabat Basarnas Banjarmasin bergerak ke titik terakhir pada pukul 12.20 waktu tempatan dan dijangka tiba pada pukul 19.20 waktu tempatan.”
Beliau memaklumkan operasi pencarian mungkin berdepan cabaran akibat hutan tebal dan keterbatasan komunikasi di kawasan tersebut.
Helikopter berdaftar PK-RGH itu berlepas dari Lapangan Terbang Gusti Sjamsir Alam, Kotabaru, Kalimantan Selatan dengan destinasi akhir Palangkaraya, Kalimantan Tengah.
Menurut senarai penumpang Basarnas Banjarmasin, helikopter tersebut membawa dua juruterbang dan enam penumpang. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

