Mengantuk dipercayai punca empat sahabat maut kemalangan

KUALA LANGAT – Mengantuk dipercayai menjadi punca sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki empat sahabat terbabas sebelum merempuh sebatang pokok dalam kemalangan maut di Kilometer 27.7 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kesemua mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang menaiki Ford Ranger berwarna kuning itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Difahamkan, sebelum kejadian, kumpulan rakan itu dalam perjalanan pulang ke Banting selepas dipercayai keluar bersama di Dengkil.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan berkenaan dipercayai mengantuk.
Beliau berkata, keadaan itu mengakibatkan kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan.

"Kenderaan itu melanggar sebatang pokok menyebabkan pemandu dan tiga penumpangnya tercampak serta mengalami kecederaan parah.
"Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Banting," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, semua waris mangsa telah tampil membuat laporan dan memberikan keterangan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Langat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Taneswaran di talian 03-3187 2222 atau 012-670 8561, atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

