Guru taska tarik rambut, pukul budak dua tahun ditahan

Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang wanita mengasari kanak-kanak perempuan dipercayai berlaku di sebuah taska di Kuala Langat.
Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang wanita mengasari kanak-kanak perempuan dipercayai berlaku di sebuah taska di Kuala Langat.
A
A
A

KUALA LANGAT – Tindakan seorang guru taska yang menarik rambut dan memukul seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ketika dalam jagaan terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan perbuatannya itu.

Kejadian dipercayai berlaku pada 18 Ogos lalu di sebuah taska di Telok Panglima Garang di sini apabila suspek dilihat bertindak kasar terhadap mangsa termasuk mengheretnya dari kelas ke bilik air.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 38 tahun pada 24 Ogos lalu selepas meneliti rakaman CCTV taska berkenaan.

"Hasil semakan mendapati suspek seorang wanita tempatan berusia lingkungan 38 tahun telah bertindak menarik rambut, mengheret mangsa menggunakan kaki selain memukul kepalanya dengan tudung saji kecil dan botol air.

"Berdasarkan pemeriksaan, tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh mangsa namun perbuatan itu jelas menjurus kepada penderaan fizikal dan mental," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, susulan laporan tersebut, polis telah menahan suspek bagi membantu siasatan.

"Suspek kemudiannya direman lima hari untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan tampil menyalurkannya di balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang wanita memperlakukan dengan kasar terhadap seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berlaku di sebuah taska di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!