Pemandu lori disyaki terlelap sebelum rempuh motosikal

KAJANG - Pemandu lori yang merempuh sebuah motosikal ditunggang seorang jurutera elektrik dalam kemalangan maut di Kilometer 292.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Kuala Lumpur di sini pada Sabtu dipercayai terlelap ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek telah ditahan di sekitar kawasan Kajang untuk membantu siasatan berkaitan kejadian.
"Suspek yang merupakan lelaki tempatan itu kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut berhubung kemalangan terbabit.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlelap sebelum lori dipandunya masuk ke lorong kecemasan dan melanggar motosikal mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan seorang jurutera elektrik maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Mangsa berusia 39 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

