'Pengganas Gerakan Militan Nusantara' culik VVIP ditumpaskan ATM

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh Rejimen Ke-11 Gerak Khas (11 RGK) dengan sokongan Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja Mekanize (12 RAMD Mek) mencuri tumpuan ribuan pengunjung pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 peringkat negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) pada Ahad.
Aksi taktikal itu memperlihatkan kecekapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menumpaskan kumpulan pengganas digelar ‘Gerakan Militan Nusantara’ yang menculik individu berprofil tinggi sebelum diselamatkan menerusi serbuan taktikal tersusun.
Gerakan pantas dengan sokongan aset mekanize dan kepakaran tempur pasukan elit itu nyata memukau penonton yang bersorak memberi sokongan padu.
Semangat patriotisme jelas terpancar apabila orang ramai mula membanjiri padang MBK1 seawal jam 7 pagi dengan membawa Jalur Gemilang dan bendera Pahang pelbagai saiz.
Keberangkatan tiba Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menyerikan lagi suasana.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri, Datin Seri Burhah Mohamed.
Pada sambutan itu, nyanyian lagu Negaraku bergema diikuti bacaan ikrar oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Khairul Zukri Abdullah.
Laungan merdeka sebanyak tujuh kali oleh veteran tentera, Othman Tan, 87, yang pernah menyaksikan laungan “Merdeka” oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada tahun 1957, menambahkan lagi suasana penuh semangat.
Persembahan seni silat, tarian bertemakan lagu kemerdekaan, pertunjukan Tempur Tanpa Senjata dan aksi payung terjun Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jugra yang membawa lima bendera turut mengundang sorakan gemuruh.
Sebanyak 150 kontinjen terlibat kali ini dengan 82 kontinjen berjalan kaki dan 68 kontinjen berkenderaan, melibatkan 5,227 peserta serta 644 kenderaan.
Perarakan dimeriahkan lagi dengan kereta berhias Majlis Bandaraya Kuantan, Tourism Pahang dan Pejabat Pembangunan Negeri Pahang (SDO), selain penyertaan pelajar prasekolah dan pasukan Bomba Cilik.
Antara yang memukau penonton ialah tujuh kenderaan perisai ACV Adnan, tujuh AV8 Gempita dan meriam MM Pack Howitzer yang menonjolkan keperkasaannya.
Acara sambutan pada tahun ini turut digamatkan dengan fly past and parachute oleh jet pejuang iaitu dua pesawat BAE Hawk 208 dan empat pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM.
Acara sambutan pada tahun ini turut digamatkan dengan empat pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

