Banduan program PBSL menghilangkan diri

SUNGAI BULOH – [DIKEMAS KINI] Seorang banduan lelaki yang sedang menjalani Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dilaporkan menghilangkan diri di Desa Coalfields di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11 pagi.
“Banduan terbabit dikenali sebagai M Devan, 39, yang sebelum ini dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara di Penjara Kajang atas kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Hafiz berkata, pencarian telah dibuat oleh pihak Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Wangsa Maju Kuala Lumpur di sekitar kawasan tersebut, namun gagal menemui individu berkenaan.
"Semakan juga dibuat di balai polis serta mendapati tiada rekod tangkapan dan penahanan terhadap orang bebas berlesen (OBB) berkenaan di mana-mana lokap oleh pihak Polis Diraja Malaysia.
"Semakan juga dibuat di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang mendapati tiada sebarang rekod kemasukan," katanya.
Beliau berkata, hasil laporan daripada pihak keluarga mendapati lelaki itu tidak pulang ke rumah serta disyaki telah menghilangkan diri dari pemantauan dan seliaan Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Wangsa Maju.
*Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan.
"Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Ekmal Hasif Mohd Noor di talian 01135396787 atau Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
