Pengurusan sampah, tanggungjawab bersama-Ramli

SHAH ALAM – Masyarakat perlu berhenti melihat sampah sebagai kotoran sebaliknya memahami ia datang daripada diri sendiri dan boleh memberi manfaat jika diurus dengan betul.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, sikap masyarakat terhadap sampah masih rendah dan kebanyakan hanya mengharapkan pihak berkuasa tempatan serta pekerja pembersihan menjalankan tanggungjawab.
"Kalau kita lihat setiap sampah itu datangnya daripada kita, malangnya ramai tidak sedar ia adalah tanggungjawab peribadi. Sampah bukan hanya kotoran untuk dibuang tetapi ia perlu diurus dengan betul kerana sebahagiannya boleh memberi nilai semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu interviu x Podcast Sinar Harian bertajuk Kurang Sisa, Kurang Kos!: Kelestarian, Pendidikan dan Masa Depan Pengurusan Sisa yang dihoskan oleh Luqman Hakim Abd Malik di sini, pada Jumaat.
Ramli berkata, budaya masyarakat Jepun dalam menguruskan sampah wajar dicontohi kerana masyarakat di negara itu mempunyai mentaliti yang cukup tinggi terhadap kebersihan dan tanggungjawab awam.
“Saya sendiri pernah meyaksikan di stadium selepas perlawanan bola sepak, penyokong Jepun akan memgutip sampah sendiri. Mereka membawa plastik dan memasukkan sisa makanan dan botol kemudian dibawa pulang.
"Tidak ada keperluan untuk pekerja pembersihan bersusah-payah kutip satu baris demi satu baris, berbeza dengan negara kita," ujarnya.
Tambahnya, di Malaysia masih wujud sikap Not in my backyard (NIMBY) di mana orang ramai tidak mahu sampah diurus berhampiran kawasan mereka tetapi dalam masa sama tidak mahu bertanggungjawab dengan sisa yang dihasilkan sendiri.

“Inilah mentaliti yang perlu kita ubah, kalau kita hasilkan sampah kita juga perlu bertanggungjawab.
“Jangan fikir buang sampah sahaja, bersikap lepas tangan dan membiarkannya sekali gus menjadi masalah kepada orang lain,” katanya.
Pendidikan berterusan
Ramli menegaskan, punca utama masalah lambakan sampah di negara ini ialah sikap masyarakat sendiri.
“Mereka enggan mengamalkan tabiat mudah seperti mengikat plastik dengan betul, membuang di tong yang disediakan atau mengasingkan sisa kitar semula.
“Kalau semua ini dibuat dengan betul, bukan sahaja kebersihan terjamin malah beban kos pengurusan sisa boleh dikurangkan,” katanya.
Beliau menambah, sikap berkenaan hanya dapat dibentuk melalui pendidikan berterusan sejak kecil agar generasi akan datang membesar dengan budaya kebersihan yang lebih baik.
“Kita mesti tekankan kesedaran mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan bermula dari rumah, tadika hingga universiti.
“Jika anak-anak sudah biasa bangun pagi mengemas katil, membersihkan bilik dan tahu tanggungjawab mereka, mereka akan membawa nilai itu sehingga dewasa.
“Tanggungjawab terhadap sampah juga begitu. Jika dari kecil diajar buang sampah dengan betul, asingkan sisa dan jaga kebersihan, budaya itu akan kekal seumur hidup,” jelasnya.
Ramli turut menyeru masyarakat agar melihat isu sampah sebagai sebahagian daripada proses menuju kehidupan lebih sihat dan negara lebih maju.

“Kalau negara seperti Jepun boleh disiplin, kenapa tidak kita? Apa yang penting kita mesti ubah mentaliti sampah bukan kotoran, bukan beban tapi tanggungjawab bersama,” tegasnya.
KDEBWM bakal kutip sisa elektronik di Selangor
Sementara itu, dalam perkembangan sama Ramli berkata, pihaknya bakal memperluaskan skop perkhidmatan kutipan sampah dengan memasukkan sisa elektronik atau e-waste dalam usaha meningkatkan kualiti pengurusan sisa di Selangor.
Katanya, pada masa ini KDEBWM hanya menguruskan sisa domestik dan sisa perusahaan awam seperti sampah dapur, lebihan makanan, rumput serta bahan buangan biasa.
"Kategori e-waste pula melibatkan barangan elektrik dan elektronik yang sudah rosak atau tidak digunakan lagi seperti komputer riba, televisyen, mesin basuh, peti sejuk, lampu, iPad serta telefon bimbit lama.
“E-waste memerlukan lesen khas untuk dikutip dan dihantar ke pusat pelupusan sah bagi diuraikan semula. Ada komponen tertentu dalam peranti ini yang boleh dikitar semula serta memberi nilai ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses mendapatkan lesen tersebut dengan kerjasama sebuah syarikat khusus bagi menggiatkan pusat kitar semula e-waste di Selangor.
“Kita akan melancarkan program Selangor Kita (SelKita) yang memberi fokus kepada kutipan e-waste di seluruh negeri. Sebagai permulaan, KDEBWM akan melabur bagi menambah 12 lori baharu,” jelasnya.
Ramli menjelaskan, lori khas itu akan dilengkapi dengan reka bentuk lebih menarik serta kutipan berjadual bagi menggalakkan masyarakat mengasingkan e-waste daripada sampah biasa.
“Dengan adanya lori ini, orang ramai tidak lagi perlu mencampurkan barangan elektronik rosak ke dalam beg plastik hitam bersama sampah domestik,” katanya.
Beliau menegaskan, kesedaran masyarakat tentang kepentingan pelupusan e-waste yang betul perlu dipertingkatkan kerana barangan seperti telefon, bateri, komputer atau peti sejuk lama boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar sekiranya dibuang secara tidak terkawal.
“Sekarang ini telefon bimbit sangat cepat bertukar ganti. Telefon lama yang rosak dan tidak dipakai perlu dilupuskan dengan betul.
“Begitu juga dengan iPad, televisyen, peti sejuk dan barangan lain yang tidak sesuai dicampur bersama sampah domestik,” katanya.
Tambahnya, jika dikendalikan secara teratur, pelupusan e-waste mampu menjana ekonomi kerana terdapat komponen dalam peranti berkenaan yang mempunyai nilai pasaran selain dapat mengurangkan pencemaran bahan kimia berbahaya.
“Kita yakin apabila lesen diperoleh, KDEBWM akan menambah lagi bilangan kenderaan bagi memperluaskan perkhidmatan ini ke seluruh Selangor,” katanya.
Selain itu, lori baharu berkenaan juga akan dilengkapi dengan ciri khas seperti lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) dan muzik bagi menarik perhatian penduduk, sekali gus memberi suasana lebih segar ketika kutipan dilakukan.
“Suasana ini mengingatkan kita kepada lori lama yang datang mengutip akhbar dan bateri suatu ketika dahulu tetapi kali ini kita jadikan ia lebih moden dan menarik,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
