Dua lelaki maut motosikal bertembung, terbakar

NIBONG TEBAL - Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka dilaporkan bertembung sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Sungai Kechil, berhampiran dengan Jawi Golf Resort di sini, pada awal pagi Ahad.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 12.16 pagi dari orang awam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kemalangan mendapati kedua-dua motosikal terbakar hampir keseluruhan dan salah seorang mangsa tersepit kaki dan melecur.

Beliau berkata, mangsa berusia 40-an itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.
"Seorang lagi mangsa juga mengalami melecur separuh badan dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap oleh jentera Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan.
"Namun lelaki berusia 40-an itu juga dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di unit kecemasan hospital terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Jurucakap berkenaan berkata, setakat ini identiti kedua-dua mangsa belum lagi dikenal pasti dan mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, operasi tamat pada jam 12.32 pagi selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
