Jangan tertipu pihak ketiga tawar khidmat Rumah Mesra Rakyat - SPNB

MACHANG - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pihak ketiga yang menawarkan khidmat kononnya mampu menjamin kelulusan pembinaan rumah di bawah skim Rumah Mesra Rakyat (RMR).
Pengerusinya, Datuk Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila berkata, SPNB tidak pernah melantik mana-mana individu atau konsultan sebagai ejen rasmi untuk menguruskan permohonan dan tindakan pihak berkenaan jelas satu bentuk penipuan bagi mengaut keuntungan.
“Kami kesan ada pihak ambil kesempatan dengan mendakwa jika orang ramai bayar mereka, permohonan rumah akan gerenti lulus. Itu bohong sama sekali.
"Permohonan SPNB tidak libatkan sebarang bayaran, malah jika maklumat tidak lengkap, pegawai kami sendiri akan hubungi pemohon. Tidak perlu orang tengah,” katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau hadir pada Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Banggol Kemian, Paloh Rawa di sini yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Menurut beliau, proses permohonan hanya boleh dibuat melalui dua saluran rasmi iaitu borang fizikal di pejabat atau secara dalam talian melalui sistem SPNB.
Ujarnya, setiap permohonan tertakluk kepada prosedur ketat termasuk perlu mendapat pengesahan penghulu sebelum diproses.
“Paling penting, SPNB sendiri yang melantik kontraktor untuk bina rumah.
"Jadi, jangan sesekali percaya mana-mana pihak luar yang konon menjanjikan jaminan kelulusan,” katanya.
Mohd Azmi mengingatkan orang ramai supaya terus berurusan dengan pejabat SPNB dan segera membuat laporan jika didekati mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, sehingga kini lebih 73,000 unit RMR telah dibina di seluruh negara termasuk 11,307 di Kelantan
Tambah beliau, RMR menawarkan tiga bilik tidur dan dua bilik air pada harga RM75,000.
"RM20,000 subsidi kerajaan dan pemilik hanya membayar pinjaman sebanyak RM55,000 tanpa faedah selama 16 tahun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

