McDonald’s Malaysia umum pengeluaran zakat korporat RM2 juta

PUTRAJAYA - McDonald’s Malaysia mengumumkan pengeluaran zakat korporat sebanyak RM2 juta tahun ini, dengan RM300,000 disumbangkan kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP).
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pihaknya turut menyumbangkan 100 kotak barangan keperluan harian kepada keluarga asnaf sebagai bantuan terus bagi meringankan beban mereka.
“Bagi tujuan itu, McDonald’s Malaysia bersama PPZ-MAIWP turut menjalankan program ziarah rumah ke rumah untuk menyantuni serta menyumbangkan Kotak Rezeki kepada yang memerlukan di sekitar Putrajaya.
“Selain itu buat julung kalinya, kami akan menjelajah ke semua 14 negeri di Malaysia bagi menyerahkan zakat kepada pusat zakat negeri masing-masing dengan majlis berlangsung di restoran McDonald’s terpilih,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald's Malaysia di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman dan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Di setiap lokasi yang McDonald’s Malaysia kunjungi dalam jelajah zakat ini, termasuk di sini, syarikat mereka turut menyediakan 1,000 hidangan percuma kepada pelanggan dan komuniti setempat yang hadir sebagai tanda kesyukuran terhadap kemajuan perniagaan dan sokongan pelanggan selama ini.
Dalam pada itu Azmir memaklumkan, syarikat rangkaian restoran khidmat segera milik 100 peratus muslim itu telah melunaskan zakat sejumlah RM14 juta sejak tahun 2017.
Selari dengan prinsip untuk menjadi syarikat yang prihatin, pembayaran zakat tersebut menurut beliau, mencerminkan komitmen pihaknya terhadap komuniti.
“Kami ingin menggunakan kelebihan yang ada ini untuk membantu komuniti memerlukan.
“McDonald’s juga menyediakan program pendidikan vokasional untuk mengasah kemahiran anak muda, terutamanya daripada keluarga B40 dan asnaf, dalam pekerjaan supaya mereka boleh tingkatkan sosioekonomi dan keluar daripada kitaran kemiskinan.

“Hampir 70 peratus daripada 5,000 graduan bekerja dengan McDonald’s Malaysia dalam pelbagai jawatan sehingga ada yang kini sudah menjadi pengurus restoran,” ujarnya.
Sebagai rekod pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan yang pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP.
Sijil tersebut sebagai mengiktiraf perniagaan yang menyumbang zakat korporat di negeri-negeri Wilayah Persekutuan.
Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat berkenaan melengkapi pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia.
“Bagi menyempurnakan pembayaran zakat korporat di semua negeri, McDonald’s Malaysia telah menjelajah ke Perak, Terengganu dan Selangor bagi menjayakan majlis penyerahan kepada Majlis Agama Negeri masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hakim turut menzahirkan penghargaan kepada McDonald’s Malaysia kerana sentiasa menjadi syarikat korporat yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan zakat korporat.
“Selain merupakan kewajipan bagi yang berkemampuan, sumbangan zakat ini juga membantu kami untuk mendekati lebih ramai asnaf yang memerlukan.
“Kami berharap lebih banyak usaha bersama McDonald’s Malaysia dapat dilaksanakan untuk membantu asnaf secara berpanjangan pada masa akan datang,” katanya.
Perkasa program komuniti

Setiap tahun McDonald’s Malaysia akan menjalankan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan, melibatkan semua lebih 370 rangkaian restoran di seluruh negara menerusi program Komuniti @ McDonald’s.
Menurut Azmir, antara aktiviti dijalankan termasuk majlis sambutan hari jadi untuk anak yatim, menyumbang moreh ke masjid dan surau, menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan dan lain-lain lagi.
“Kami sentiasa mencari peluang untuk mendekati dan menyantuni komuniti daripada semua lapisan masyarakat.
“McDonald’s Malaysia akan terus membantu komuniti di sekitar restoran, menjadi jiran yang prihatin untuk membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Kemajuan perniagaan untuk pembangunan tempatan Mengulas mengenai perkembangan operasi syarikat tersebut, Azmir memaklumkan, McDonald’s Malaysia merancang untuk membuka lebih banyak restoran baharu menjelang tahun 2030.
Pada masa sama, Azmir menjelaskan usaha pengembangan perniagaan McDonald’s Malaysia turut menghasilkan peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat.
“Perancangan jangka panjang kami adalah membuka lebih banyak restoran baharu untuk tempoh lima tahun akan datang dan berharap agar setiap restoran yang dibuka dapat menjana peluang pekerjaan kepada lebih ramai anak tempatan,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
