ATM bakal gegar pentas Hari Kebangsaan dengan irama beg paip

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada Ahad ini bakal menyaksikan detik bersejarah apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menampilkan persembahan pancaragam beg paip buat kali pertama di pentas utama.
Ketua Kontinjen, Leftenan Kolonel (DOM) Badelisham Md Juda berkata, pasukan tersebut akan mempersembahkan alunan muzik selama tiga minit di hadapan pentas diraja.
“Kami bawakan gabungan alunan beg paip bersama nyanyian lagu rakyat seperti Biar Berkikis Bulu Betis, Anak Kampung dan Lemak Manis,” katanya ketika ditemui pada sesi raptai Hari Kebangsaan di sini pada Khamis.
Menurutnya, kekuatan pasukan terdiri daripada seorang pegawai dan 130 anggota termasuk 80 pemain beg paip serta 40 pemain dram.
“Lebih menarik, persembahan turut disertai tiga pemain wanita Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang akan memberi warna baharu kepada sambutan kali ini,” ujar Komandan Pusat Latihan Tempur Darat, Sungai Besi itu.
Badelisham berkata, persembahan berkenaan melibatkan gabungan tiga cabang ATM iaitu darat, laut dan udara yang disatukan dalam satu pasukan beg paip.
“Walaupun berbeza dari segi pakaian, dari sudut muzik kita sama. Semua anggota biasa bermain beg paip, malah sebelum ini sudah pernah bergabung cuma bukan pada acara sebesar ini,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, latihan intensif bermula awal Ogos dan dijalankan selama tiga minggu di Kem Sungai Besi.
“Sepanjang perjalanan ke pentas utama, pasukan turut memainkan alunan lagu sebelum berhenti untuk persembahan rasmi selama tiga minit. Selepas itu, kami akan mara ke depan sambil memainkan lagu lagi,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran, Badelisham tidak menafikan cuaca memainkan peranan kerana alat muzik beg paip sensitif terhadap air hujan.
“Namun dengan latihan berterusan, momentum anggota sangat baik. Insya-ALLAH, persembahan pada 31 Ogos ini akan berjalan lancar,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, idea menggabungkan persembahan beg paip datang dari Rejimen Angkatan Tentera sebagai usaha menonjolkan keunikan muzik tradisi ketenteraan dalam sambutan Hari Kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

