Ribut pasir Haboob 'telan' Arizona

Gambar fenomena itu yang turut menjadi tular di media sosial. Foto Agensi
Gambar fenomena itu yang turut menjadi tular di media sosial. Foto Agensi
A
A
A

PHOENIX - Ribut pasir luar biasa setinggi ratusan meter 'menelan' Phoenix hingga mengundang ketakutan kepada penduduk di kawasan bandar gurun di Amerika Syarikat (AS) tersebut pada Isnin.

Detik berdepan fenomena haboob itu dikongsi Bernae Boykin Hitesman ketika dia sedang memandu bersama dua anaknya yang pulang dari sekolah.

"Langit bertukar gelap dan jarak penglihatan menjadi sangat terhad. Saya bersama anak-anak menjadi gugup dan terpaksa menenangkan mereka.

"Angin kencang menggoncang kereta saya sebelum ia reda kira-kira 15 minit kemudian," katanya yang terpaksa memberhentikan kereta ketika 'amukan' haboob di kawasan itu yang terletak kira-kira 95 kilometer dari tenggara Phoenix.

Menurut PowerOutage.us, kira-kira 55,000 penduduk terutamanya di daerah Maricopa turut terputus bekalan elektrik.

Bekas profesor universiti, Richard Filley yang menetap di Gilbert memaklumkan ribut pasir turut memberi impak hampir sama seperti ribut tropika.

Ribut pasir itu turut menyebabkan banyak pokok tumbang menimpa kediaman penduduk. Foto Agensi
Ribut pasir itu turut menyebabkan banyak pokok tumbang menimpa kediaman penduduk. Foto Agensi

"Ia merupakan fenomena semula jadi yang menakjubkan dan mempunyai keindahan tersendiri meskipun agak menggerunkan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ahli meteorologi di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Mark O'Malley berkata, keadaan di Phoenix kini lebih kering berbanding musim monsun dan fenomena tersebut ialah perkara biasa.

Pada Selasa, kerja pembersihan pokok tumbang telah dijalankan dan bekalan elektrik dilaporkan kembali pulih. - Agensi

Info:

>Haboob ialah ribut pasir gergasi yang dibawa angin dihasilkan had cuaca atau ribut petir yang biasanya berlaku di kawasan gurun. Hujan lebat dan angin kencang menyusul selepas kejadian itu yang turut menjejaskan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sky Harbor serta mengakibatkan sedikit kerosakan pada bumbung terminal.

>Bandar gurun itu biasanya menerima kira-kira 178 milimeter (mm) taburan hujan tahunan dengan satu pertiga hingga separuh daripadanya turun semasa musim ribut petir tidak menentu antara pertengahan Jun-Sepember. Setakat ini, ia hanya merekodkan 51mm taburan hujan di bawah paras normal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!