Karangkraf bantu mudahkan guru SSeMKL tebus baucar buku

KUALA LUMPUR – Program penebusan Baucar Buku Guru Madani di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) berlangsung dengan jayanya apabila hampir 90 peratus guru selesai menebus baucar masing-masing dengan bantuan Karangkraf yang turun padang ke sekolah berkenaan.
Pengerusi Kelab Guru dan Staf SSeMKL, Mohd Khir A Kadir berkata, proses itu berjalan lancar dengan penyertaan hampir semua guru yang menerima baucar bernilai RM100 di bawah inisiatif kerajaan.
“Alhamdulillah, penebusan kali ini berjaya diselesaikan dengan kerjasama Karangkraf yang berusaha membantu guru-guru membuat pembelian secara digital dengan lebih mudah.
“Ramai guru yang sebelum ini tidak berkesempatan atau kurang mahir menggunakan aplikasi digital akhirnya dapat menebus baucar mereka dengan lancar apabila pihak Karangkraf hadir ke sekolah,” katanya ketika ditemui di SSeMKL pada Rabu.
Jelasnya, SSeMKL mempunyai seramai 51 guru dan setakat ini hampir 90 peratus berjaya menebus baucar berkenaan, manakala selebihnya dijangka selesai dalam masa terdekat.
“Kalau ikut jumlah keseluruhan, sekitar 30 guru pada awalnya masih belum membuat penebusan, tetapi dengan adanya kerjasama ini, hampir semua sudah menyelesaikan prosesnya. Hari ini sahaja, sebahagian besar telah selesai,” ujarnya.
Menurutnya, kehadiran Karangkraf ke sekolah amat memudahkan kerana guru bukan sahaja dapat membuat penebusan secara terus, malah boleh melihat dan memilih sendiri buku yang ditawarkan termasuk pelbagai bahan bacaan motivasi dan rujukan.
“Program ini benar-benar memudahkan guru, bukan sekadar mempercepatkan penebusan tetapi memberi peluang kepada kami memilih sendiri bahan bacaan yang sesuai dengan keperluan masing-masing,” katanya lagi.
Baucar Buku Guru Madani bernilai RM100 itu diberikan kerajaan bermula 1 Julai hingga 30 September kepada semua guru yang memiliki akaun Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sekolah-sekolah di seluruh Semenanjung Malaysia yang berminat untuk mendapatkan bantuan penebusan dialu-alukan menjemput Karangkraf hadir dengan menghubungi talian 019-2297227 (Nursyamimy) bagi menempah slot lawatan.
Jadual lawatan Karangkraf masih terbuka dan pasukan tambahan akan digerakkan sekiranya permintaan meningkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

