Sudah 68 tahun merdeka tapi kesedaran sivik masih rendah

Kajian UTHM (2021) menunjukkan sikap tak peduli kebersihan dan kurang tanggungjawab komuniti masih berleluasa. Gambar hiasan
Kajian UTHM (2021) menunjukkan sikap tak peduli kebersihan dan kurang tanggungjawab komuniti masih berleluasa. Gambar hiasan
A
A
A

Dah lebih enam dekad kita merdeka, tapi Merak Jalanan lihat tahap kesedaran sivik rakyat Malaysia masih jadi tanda tanya. Nampaknya belum seiring dengan perkembangan pembangunan dan kepesatan negara.

Negara memang makin maju dari segi pembangunan dan teknologi, tapi bab nilai murni dan rasa tanggungjawab sosial, nampaknya belum seiring dengan usia kemerdekaan.

Merak Jalanan perhatikan masih banyak masalah asas yang berulang. Orang masih buang sampah merata- rata, perbuatan vandalisme sudah jadi satu kebiasaan, sikap kurang disiplin di jalan raya macam perkara rutin dan kurang hormat pada hak orang lain.

Malah menurut satu laporan pada tahun 2018 pun kata, rakyat Malaysia masih kurang kesedaran sivik bila tindakan harian mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan bersama.

Kajian UTHM (2021) pula tunjuk sikap tak peduli kebersihan dan kurang tanggungjawab komuniti masih berleluasa.

Nak ubah semua ini, tak boleh hanya harapkan kempen ‘Sayangi Malaysia’ masa bulan kemerdekaan saja atau sekadar pelancaran kempen setahun sekali. Tapi perlu lebih menjangkau normal kebiasaan dan dipergiatkan sepanjang masa.

Merak Jalanan percaya semua pihak mesti mainkan peranan. Keluarga kena jadi benteng pertama, ajar anak-anak hormat orang, jaga kebersihan dan faham tanggungjawab sosial.

Sekolah pula jangan cuma ajar teori, tapi wujudkan lebih banyak aktiviti gotong-royong, projek komuniti dan kesukarelawanan.

Kesedaran sivik bukan sekadar semangat patriotik masa bulan kemerdekaan saja. Ia kena jadi amalan sepanjang masa. Kalau nilai murni ini diamalkan secara konsisten, barulah Malaysia boleh jadi masyarakat yang benar-benar matang dan seiring dengan statusnya sebagai negara merdeka.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!