Polis berkas lelaki, rampas lebih 1kg serbuk ekstasi

KLUANG – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan merampas lebih satu kilogram (kg) serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dalam satu serbuan di Taman Sri Impian, Kluang awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, serbuan pada jam 12.15 tengah malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui satu bungkusan plastik hijau bertulis nama sebuah kedai serbaneka terkemuka dan 20 peket plastik pelbagai warna berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat 1,066 gram.
“Turut disita wang tunai berjumlah RM150 dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM11,130,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah manakala ujian saringan air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek direman selama lima hari mulai Selasa hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Sementara itu, Bahrin berkata kes, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah berbahaya yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah untuk diri sendiri, yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkannya dengan menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) atau tablet DCC di talian 014-365682,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
