Polis kejar lelaki curi kabel belakang asrama

MUAR – Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Telekom di kawasan belakang asrama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, di sini pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz kedua-dua lelaki warga tempatan itu ditahan pada jam 10.23 pagi apabila pasukan rondaan cegah jenayah dari Balai Polis Panchor mengesan pergerakan mencurigakan sebelum bertindak menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
“Ketika ditahan, tiga lelaki yang berada dalam kenderaan berkenaan bertindak melarikan diri dan kejadian berkenaan turut tular di media sosial.
“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas polis, dua daripada mereka berjaya diberkas sementara seorang lagi suspek telah dikenal pasti dan sedang dikesan oleh pihak polis,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan-menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Kes juga disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat terhadap perkhidmatan awam (seperti kabel telekomunikasi) dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu kesalahan mengambil dadah berbahaya boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu Raiz Mukhliz berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki yang berusia 24 dan 25 tahun itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau serta didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
“Polis akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah curi kabel yang boleh menjejaskan perkhidmatan awam serta mengancam keselamatan masyarakat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek yagn masih bebas diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian 06-9531222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
