Pegawai, 2 anggota polis didakwa 6 pertuduhan rasuah

Pegawai dan dua anggota polis mengaku tidak bersalah atas 6 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12,300 pada November 2023 lalu.
Pegawai dan dua anggota polis mengaku tidak bersalah atas 6 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12,300 pada November 2023 lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang pegawai dan dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12,300 pada November 2023 lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Deris Jerman, 43; Mohd Fahmee Mohd Top, 37 dan Muhammad Taufiyqul Hakim Mohd Zaki, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Deris yang merupakan pegawai polis berpangkat Inspektor bersama Mohd Fahmee (Koperal) didakwa atas lima pertuduhan bersetuju menerima rasuah daripada tiga individu sebagai dorongan untuk tidak menyita lori serta tidak menjalankan siasatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 26, Jalan Nitar, Mersing dan di Maybank Cawangan Mersing antara jam 3 petang hingga 5.52 petang pada 30 November 2023.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Muhammad Taufiyqul yang berpangkat Lans Koperal pula didakwa meminta wang suapan berjumlah RM800 sebagai dorongan untuk tidak menyita lori serta tidak menjalankan siasatan di bawah APJ 1987.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 26, Jalan Nitar, Mersing pada jam 12.30 tengah hari, 19 November 2023.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman sama.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Mohd Azlan Shah Mohd Alias.

Artikel Berkaitan:

Dalam rayuannya, Mohd Azlan Shah memohon agar mahkamah memberikan jaminan minimum kepada kesemua tertuduh memandangkan mereka masih dalam perkhidmatan dan tidak berisiko melarikan diri.

Deris dilaporkan telah berkhidmat selama 25 tahun dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang manakala Mohd Fahmee telah berkhidmat selama 17 tahun sementara Muhammad Taufiyqul telah berkhidmat selama sembilan tahun.

Kesemua tertuduh juga telah berkahwin dan mempunyai tanggungan keluarga serta memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan oleh pihak SPRM.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Deris dan Mohd Fahmee masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 manakala Muhammad Taufiyqul sebanyak RM6,000. Tarikh 30 September 2025 ditetapkan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!