Resort kabin jimat kos operasi, pelanggan puji selesa

Rumah penginapan berasaskan kontena yang menawarkan reka bentuk unik menjadi pilihan inovatif kepada pengusaha pusat pelancongan kerana faktor penjimatan kos. (Gambar kecil: Saiful Akmal)
Rumah penginapan berasaskan kontena yang menawarkan reka bentuk unik menjadi pilihan inovatif kepada pengusaha pusat pelancongan kerana faktor penjimatan kos. (Gambar kecil: Saiful Akmal)
A
A
A

SHAH ALAM – Rumah penginapan berasaskan kontena yang menawarkan reka bentuk unik menjadi pilihan inovatif kepada pengusaha pusat pelancongan kerana faktor penjimatan kos.

Menurut Pengurus Projek Butik Resort The Kabin, Saiful Akmal Mudayat, pemilihan kabin daripada kontena terpakai bukan sekadar trend tetapi strategi perniagaan yang praktikal dan lestari.

“Ia menjimatkan kos dan mesra alam. Selain mengurangkan pembaziran bahan binaan, kontena mudah diubah suai menjadi struktur moden.

“Dengan kreativiti pada reka bentuk dan susun atur, kontena boleh diubah menjadi ruang penginapan bergaya, selesa dan unik.

Butik Resort The Kabin.
Butik Resort The Kabin.

“Ia menjadikannya pilihan yang berdaya saing dalam industri pelancongan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Saiful Akmal, penggunaan rumah kabin membantu mengurangkan kos operasi kerana struktur binaan itu menggunakan bahan tahan lama seperti keluli dan papan komposit yang hanya memerlukan penyelenggaraan minimum.

Menurut beliau, saiz ruang yang lebih kecil bermaksud bil elektrik, air dan pembersihan lebih rendah.

Artikel Berkaitan:

“Secara langsung, ia membolehkan kami mengurus resort dengan lebih efisien dan menjimatkan dalam jangka masa panjang.

“Dengan konsep mesra alam dan kos operasi yang rendah, The Kabin menjadi bukti inovasi dalam reka bentuk penginapan boleh mencipta nilai tambah kepada pelancong dan operator pelancongan,” katanya.

Ujar Saiful Akmal, pusat penginapan itu telah beroperasi sejak 2014 dan penyelenggaraan dilakukan hampir setiap tahun dengan kerja penambahbaikan seperti membaiki lantai, mengecat dan sebagainya yang tidak melebihi RM10,000.

Katanya lagi, walaupun ruang dalaman kontena lebih kecil berbanding bilik hotel konvensional, namun keselesaan tetamu tetap menjadi keutamaan.

“Ramai memuji gabungan konsep industri dengan elemen keselesaan seperti pencahayaan semula jadi, sistem pengudaraan yang baik dan suasana santai,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!