'Pak Awang' pandai tulis, baca jawi meninggal dunia

PASIR MAS - Owee Ching Lyu atau 'Pak Awang' yang popular dengan kemahirannya membaca serta menulis jawi meninggal dunia pada usia 86 tahun di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Ahad.
Sebelum itu, bapa kepada enam orang anak yang berasal dari Kampung Sakar Sungai di sini telah menjalani rawatan di hospital sejak tiga minggu lalu akibat jangkitan kuman selepas mengalami demam.
Anak sulung, Owee Kim Jim, 62, berkata, ayahnya meninggal dalam keadaan tenang di samping keluarga kira-kira jam 7.07 malam.
"Sepanjang sakit, ayah pernah ditidurkan selama lima hari kemudian menerima rawatan di wad biasa.
"Dia (ayah) juga dibenarkan pulang ke rumah dua hari, sebelum dimasukkan semula ke hospital apabila tekanan oksigen rendah dan didapati terkena semula jangkitan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, jasad Ching Lyu kini ditempatkan di Wat Tendong di sini dan akan dikebumikan pada tengah hari Selasa di Tanah Perkuburan Cina Kubang Pak Urai.
Pada Ogos tahun lalu Sinar Harian melaporkan Ching Lyu pandai membaca dan menulis jawi dengan baik setanding masyarakat Melayu meskipun dia berbangsa Cina.
Minat mendalam terhadap jawi membuatkan dirinya masih menyimpan rapi bahan bacaan bertulisan jawi.
Difahamkan, minat terhadap tulisan jawi berputik sejak kecil ketika dia menuntut di Sekolah Melayu Pasir Mas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

