11 gerakan mahasiswa tubuh Sekretariat Pendidikan Percuma

SHAH ALAM – Sebanyak 11 gerakan mahasiswa seluruh negara sepakat menubuhkan 'Sekretariat Pendidikan Percuma' bagi memperjuangkan agenda pendidikan percuma sebagai dasar negara yang progresif.
Antara yang menyertai sekretariat itu ialah Liga Mahasiswa Malaysia, Federasi Pemuda Kebangsaan (FEDERASI), Ikatan Mahasiswa Demokratik Malaysia, Pro-Siswa Kolej Komuniti Malaysia, UMANY, New Generation of Universiti Malaya (NewGen), Suara Siswa UM, Neo-Siswa UM, Mahasiswa Keadilan UM (MKM UM), Harmoni UM serta Kelab Bahasa Melayu UniSHAMS.
Sekretariat itu dalam satu kenyataan berkata, mereka membawa empat tuntutan utama termasuk mengadakan siri pertemuan bersama pakar pendidikan, ekonomi dan sosial bagi memperhalusi idea serta membentuk kertas dasar komprehensif.
Selain itu, sekretariat juga akan menggunakan pelbagai bentuk aksi massa seperti mobilisasi jalanan, wacana awam dan kempen akar umbi untuk mengangkat suara mahasiswa dan rakyat.
Mereka turut menuntut sesi libat urus di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membincangkan pelaksanaan idea pendidikan percuma.
“Sekretariat ini juga membuka ruang seluas-luasnya kepada semua gerakan mahasiswa, tanpa mengira latar politik atau ideologi, untuk bersama dalam membentuk suara kolektif yang lebih besar,” kata 11 gabungan persatuan mahasiswa itu pada Isnin.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 011-2150 0341 atau e-mel [ligamahasiswa.my@gmail.com](mailto:ligamahasiswa.my@gmail.com).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

