Pencapaian 68 tahun negara berkat perpaduan rakyat

KEJAYAAN Malaysia bertahan selama 68 tahun bukan sahaja bergantung kepada kepimpinan negara tetapi juga sumbangan, ketabahan dan semangat perpaduan semua rakyatnya.
Pengerusi Kelab RELA Kehormat Bersekutu Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr KK Chai mengakui, kepimpinan nasional sememangnya penting dalam pembangunan negara.
"Namun semangat rakyat yang bersatu padu adalah teras yang memastikan kemajuan berterusan.
“Hanya dengan perpaduan rakyat, negara dapat terus melangkah ke hadapan dengan gemilang,” ujarnya ketika lawatan Kelab RELA ke Stadium Merdeka dan menara kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118 baru-baru ini.
Lawatan istimewa yang mengingatkan tentang betapa berharganya kemerdekaan, kemajuan, keharmonian dan kesejahteraan negara itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB), Yang Mulia Tengku Datuk Ab Aziz, yang turut berkongsi kisah serta sejarah pembinaan Merdeka 118 yang penuh inspirasi.
Hadir sama, Penasihat Kelab, Datuk Seri Michael Chong bersama kira-kira 30 ahli jawatankuasa dan anggota Kelab RELA Kehormat Bersekutu Wilayah Persekutuan.
Mengimbau pesanan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman, KK Chai yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) menegaskan, ikatan erat perpaduan rakyat Malaysia merupakan kekuatan asas kita sebagai rakyat dan sebuah negara.
Menurut beliau, kepelbagaian bangsa, agama dan budaya Malaysia bukanlah satu penghalang, sebaliknya jambatan yang menyatukan kita semua menuju masa depan yang lebih kukuh dan harmoni.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

