Mayat lelaki ditemui lemas ada kesan hirisan di leher - Polis

KOTA BHARU – Polis mendedahkan hasil bedah siasat ke atas mayat seorang lelaki yang ditemukan lemas di Sungai Kelantan berhampiran Istana Kota Lama, di sini pada Ahad, mempunyai kesan luka hirisan pada lehernya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, bedah siasat telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada jam 12.15 pagi Isnin.
"Keadaan mayat ketika dijumpai sudah membengkak dan identitinya masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
"Mayat berkenaan ditemui kira-kira jam 6.30 petang dengan berpakaian t-shirt berkolar ungu serta berseluar pendek khakis coklat dan bertali pinggang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dengan menunggu keputusan cap jari serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti si mati.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 012-7941447 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki ditemukan lemas di Sungai Kelantan berhampiran Istana Kota Lama pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mayat mangsa dikatakan terapung di tepi tebing sungai terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

