Dua maut, empat cedera dalam kebakaran di Pontian

PONTIAN - Dua lelaki warga asing ditemukan maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong Manggis, Batu 36, Jalan Pontian di sini pagi Rabu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Nazri Ahmad Shahidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 11 pagi.
Menurutnya, seramai 15 anggota, bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sejauh kira-kira tiga kilometer.

"Sebaik tiba di lokasi pada jam 11.03 pagi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat yang berkeluasan 20x40 kaki. Api telah memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut menemukan dua lelaki dipercayai warga asing berusia lingkungan 40-an dalam keadaan melecur 80 dan 95 peratus. Mayat mereka ditemukan di bahagian tingkap dan di bawah runtuhan bumbung," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah Mohd Nazri, kebakaran dapat dikawal pada jam 11.16 pagi sebelum pihak bomba mengeluarkan empat mangsa yang cedera.
Menurutnya, seorang daripada mangsa lelaki dewasa cedera parah dengan melecur 40 peratus, manakala tiga lagi lelaki berusia lingkungan 40-an cedera ringan dan seorang lagi dilaporkan selamat.
Katanya, operasi pemadaman masih diteruskan dan jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
