Tukang sapu terima pingat Tuanku Muhriz

Siew Fook (kiri) dan Kok Seong (kanan) melihat pingat diterima Mun Thye.
Siew Fook (kiri) dan Kok Seong (kanan) melihat pingat diterima Mun Thye.
A
A
A

KUALA PILAH - Menjadi memori paling membanggakan kepada syarikat SWM Environment Sdn Bhd (SWM)apabila pekerjanya, Chai Mun Thye, 60, yang berkhidmat di bahagian pembersihan dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Wanita itu menjadi pekerja pertama syarikat berkenaan dikurniakan pingat sempena Hari Keputeraan ke-71 baginda, semalam.

Mun Thye berkata, dia yang sudah bersara wajib pada 3 Januari lalu selepas berkhidmat sebagai tukang sapu sejak tahun 2003 tidak menyangka terpilih dalam kalangan pekerja SWM.

“Suatu hari penyelia suruh saya hantar gambar, saya tak tahu pun kenapa dan hanya akur pada arahan.

“Bila terima surat barulah saya tahu dianugerahkan PJK. Terima kasih pada Tuanku Muhriz dan kerajaan negeri kerana memilih pekerja seperti kami untuk diberi anugerah besar sebegini,” katanya ketika ditemui di Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

Menurutnya, dia yang mempunyai empat anak tidak pernah berasa malu berkhidmat sebagai tukang sapu dan tidak sabar untuk kembali bekerja selepas buat keputusan menyambung kontrak dengan SWM.

“Keputusan dibuat kerana merasakan diri saya masih mampu untuk bekerja. Lagipun pekerjaan saya ini tak susah dan saya seronok untuk terus menabur bakti,” katanya.

Sementara itu Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, selain Mun Thye, dua lagi pekerja syarikat itu yang bertugas sebagai pemandu turut menerima anugerah sama.

Artikel Berkaitan:

“Pemberian pingat ini membuktikan penghargaan kerajaan negeri terhadap pekerja am yang banyak memberi sumbangan.

Manakala Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemberian pingat kepada kumpulan pekerja seumpama itu amat tepat kerana selama ini mereka sering dilupakan.

“Bagi saya mereka turut sumbang peranan penting pada negeri dan negara kerana memastikan kebersihan persekitaran. Ini juga sebagai satu motivasi pada semua pekerja tanpa kira pangkat,” katanya.