Nadi lahirkan generasi muda celik demokrasi - Johari

Johari (berdiri tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Majlis Pelancaran Nadi Ijok di sini pada Sabtu.
Johari (berdiri tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Majlis Pelancaran Nadi Ijok di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) bukan sekadar menjadi pusat sehenti masyarakat, malah turut berperanan mendekatkan generasi muda kepada institusi demokrasi melalui inisiatif seperti Sekolah Parlimen dan Parlimen Belia.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, usaha itu penting bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah dan belia mengenai peranan dan fungsi Parlimen dalam sistem pemerintahan negara.

“Sekolah Parlimen misalnya membawa ketua pengawas dan pelajar terpilih dari seluruh negara ke Parlimen bagi memahami bagaimana Dewan Rakyat dan Dewan Negara berfungsi.

"Ia boleh menjadi latihan awal sebelum mereka menyertai program kepimpinan lain seperti PLKN Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) atau memilih laluan akademik dan TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional)," katanya pada Majlis Pelancaran Nadi Ijok di sini pada Sabtu.

Johari memberitahu, semua maklumat sahih berkaitan program berkenaan boleh diperoleh di Nadi yang diwujudkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, terdapat 1,099 Nadi di seluruh negara yang dilengkapi kemudahan moden termasuk capaian internet, bilik mesyuarat serta pegawai bertugas tujuh hari seminggu.

“Nadi inilah yang menjadi nadi sebenar kepada masyarakat dan bukan saja pusat maklumat dan tempat bertemu komuniti, malah pusat melahirkan generasi muda yang lebih memahami demokrasi,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, Nadi juga kini menjadi lokasi sehenti komuniti dengan menawarkan pelbagai kemudahan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma kepada masyarakat setempat.

"Selain berfungsi sebagai pusat mendapatkan maklumat sahih, Nadi juga menyediakan pegawai kesihatan untuk menjalankan pemeriksaan seperti tekanan darah, saringan darah dan pemeriksaan kesihatan asas lain.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat boleh datang bukan saja untuk dapatkan maklumat, tetapi juga menjaga kesihatan mereka.

"Pelbagai idea dan cadangan juga boleh disalurkan kepada pihak Nadi untuk manfaat bersama,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!