Belum sedia beraksi di pentas, Eda Ezrin pilih fokus bina semula kerjaya seni

PENYANYI wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, mengakui beliau masih belum bersedia untuk membuat persembahan di atas pentas.
Beliau yang dikenali menerusi lagu ‘Bae Sobar Bae’ berkata, setakat ini beliau masih belum mempunyai keyakinan untuk tampil secara langsung.
“Buat masa ini saya lebih selesa bergerak di belakang tabir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penggambaran video muzik di Pantai Bisikan Bayu di sini pada Sabtu.
Rakaman video muzik itu merupakan penampilan pertama Eda Ezrin di hadapan khalayak selepas dibebaskan daripada tahanan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand pada 6 Ogos lalu.

Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah untuk membina semula kerjaya seni.
Ujarnya, jadual seninya sudah penuh bermula Jumaat hingga hujung September ini.
Eda Ezrin memberitahu, ia melibatkan ulasan produk kecantikan, restoran, kedai makanan serta rakaman lagu-lagu yang akan dimuat naik di platform YouTube.
Beliau turut meluahkan rasa syukur apabila suami serta empat rakan lain dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Narathiwat, Thailand atas pertuduhan memiliki dadah.
Katanya, pembebasan itu secara tidak langsung membersihkan semula nama beliau dan suami daripada tuduhan tersebut.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.
Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam pada Rabu.
Difahamkan, Mahkamah Wilayah Narathiwat kini sedang menguruskan surat pembebasan mereka sebelum diserahkan kepada pihak penjara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

