Dua beradik didakwa pecah amanah, rakan sekerja dituduh curi wang syarikat

Shin Yin (kiri) dan adiknya, Shin Hua (dua dari kanan) mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas pertuduhan pecah amanah.
Shin Yin (kiri) dan adiknya, Shin Hua (dua dari kanan) mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas pertuduhan pecah amanah.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua beradik mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan pecah amanah yang didakwa dilakukan dua tahun lalu.

Hew Shin Yin, 44, dan adiknya, Shin Hua, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi dan Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Shin Yin yang memakai baju berwarna merah jambu didakwa selaku akauntan telah melakukan kesalahan pecah amanah jenayah terhadap harta yang diamanahkan iaitu wang berjumlah RM6,000 di Jalan Ampang pada 17 November dan 15 Disember 2023.

Dia didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Shin Hua pula didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM100,000 milik sebuah syarikat ketika dalam jagaan tertuduh selaku rakan pengarah syarikat di lokasi sama pada 29 November dan 30 Disember 2023.

Wanita itu dituduh di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun serta sebatan, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Shin Yin diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan.

Sementara Shin Hua yang sarat mengandung, diikat jamin pada kadar sama dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 29 September untuk sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Teik Seng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat atas satu pertuduhan mencuri wang milik syarikat.
Teik Seng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat atas satu pertuduhan mencuri wang milik syarikat.

Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, seorang rakan sekerja mereka, Lee Teik Seng, 41, turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mencuri wang milik syarikat.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai pekerja pentadbiran didakwa mencuri wang sebanyak RM71,921.95 milik sebuah syarikat di lokasi sama pada 5 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Oktober depan.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin, Faizah Khalilah Zaberi dan Nurainizatul Farhana Zainal, manakala semua tertuduh diwakili peguam Cheow Wee serta Zarchary Yeo.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!