Jangan beri penyerang DPMM ruang - Ubaidullah

PERTAHANAN Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili memberi amaran awal kepada rakan sepasukan agar lebih berhati-hati dengan kelincahan jentera serangan DPMM FC menjelang aksi ketiga Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Barakas, malam ini.
Dua tonggak utama pasukan Brunei itu, Miguel Oliveira dan Ramadhan Sananta, dijangka menjadi ancaman terbesar selepas konsisten mengucar-ngacirkan benteng lawan dalam tiga perlawanan terdahulu.
“Berdasarkan prestasi mereka sebelum ini, Miguel dan Ramadhan memang berbahaya. Sebagai pertahanan, saya tahu kami tidak boleh beri ruang walau sedikit pun kerana mereka boleh menghukum kesilapan,” katanya.
Menurut Ubaidullah, DPMM dijangka turun dengan keyakinan tinggi selepas menyingkirkan Kuching City FC dalam saingan Piala FA, selain masih memburu kemenangan pertama dalam Liga Super musim ini.
Lebih-lebih lagi, jelasnya, skuad Penyu sendiri baru sahaja dikejutkan oleh Imigresen FC minggu lalu, sesuatu yang dianggap sebagai peringatan awal buat pasukan agar tidak memandang mudah mana-mana perlawanan.
“Kami gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol dan pada masa sama rapuh ketika bertahan. Itu kelemahan yang perlu segera diperbaiki.
“Saya sendiri masih mencari konsistensi prestasi untuk membantu benteng pasukan menjadi lebih kukuh,” jelasnya.
Terengganu yang kini dikendalikan Badrul Afzan Razali telah mengutip empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri, sekali gus menghuni tangga kedua Liga Super.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
