Patutlah lari, rupanya pemandu Pajero tular dikejar polis bawa air ketum dan pil kuda

KOTA BHARU – Polis menahan seorang lelaki selepas mengejar dua kenderaan mencurigakan di sekitar daerah ini pada petang Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff berkata, kejadian berlaku pada jam 6.15 petang apabila Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat mengesan sebuah Mitsubishi Pajero dan Proton Preve yang bergerak dari daerah itu ke arah Kota Bharu dalam keadaan mencurigakan.

“Kereta peronda IPD Tumpat bersama MPV IPD Kota Bharu mengejar kedua-dua kenderaan terbabit sebelum berjaya menahan seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 20-an yang memandu Pajero.
“Namun, pemandu Proton Preve berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam Pajero menemui sebotol plastik mengandungi cecair perang disyaki air ketum serta penyedup minuman berisi pil kemerahan dipercayai dadah pil kuda.
“Semakan lanjut mendapati nombor casis Proton Preve adalah palsu.
“Suspek yang ditahan juga mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Wan Ruzailan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Polis kini sedang mengesan pemandu Proton Preve untuk membantu siasatan,” katanya.
Rakaman kenderaan polis mengejar kenderaan suspek itu turut tular dikongsi orang awam di media sosial sejak Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

