'Luluh hati kami lihat lebam di wajah anak kecil' - Keluarga mangsa dera pengasuh

Kanak-kanak berusia dua tahun dipercayai didera, wajahnya kelihatan lebam selepas dihantar pulang pengasuh.
Kanak-kanak berusia dua tahun dipercayai didera, wajahnya kelihatan lebam selepas dihantar pulang pengasuh.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita bagai diragut jantung apabila melihat anak saudaranya cedera dengan kesan lebam di muka dipercayai akibat didera pengasuhnya.

Kanak-kanak lelaki itu dibawa keluar bersiar-siar oleh pengasuhnya sebelum dihantar pulang ke rumah ibu bapanya sekitar jam 9.39 malam, Khamis lalu.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Zehra Zubari berkata, mereka sekeluarga terkejut apabila melihat wajah kanak-kanak itu dipenuhi kesan kemerahan, disyaki dipukul selepas lebih 10 jam dibawa keluar tanpa izin.

“Hancur luluh hati kami sekeluarga. Tiada kata mampu menggambarkan betapa peritnya hati ini apabila melihat keadaan anak saudara kesayangan kami.

“Anak kecil berusia dua tahun ini yang belum pandai bercakap dan tidak mengerti apa-apa tentang dunia, menjadi mangsa kekejaman manusia yang tiada hati dan perikemanusiaan.

“Kenapa sanggup lakukan ini? Apa salah dia sehingga kamu tega memukul, menyakiti dan menderanya sebegini rupa,” katanya.

Menurut Zehra, abangnya menghantar anaknya ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat seperti biasa, namun mereka tidak menyangka kanak-kanak itu melalui penderitaan ketika berada di bawah jagaan pengasuh.

“Kesan penderitaan jelas di setiap inci wajahnya. Hanya ALLAH yang tahu betapa peritnya hati kami melihat keadaan dia,” ujarnya.

Susulan kejadian itu, ibu bapa kanak-kanak itu telah membuat laporan polis dan berharap tindakan tegas diambil terhadap pelaku.

Artikel Berkaitan:

Katanya, anak saudaranya kini mengalami trauma, enggan didukung ahli keluarga serta sering mengadu sakit sambil menyentuh pipinya.

“Hari kelima dia dirawat di wad, dia masih mengalami trauma yang teruk dan kerap mengigau. Dia tidak mahu kami dukung dan hanya menyebut, ‘No, no, no’.

“Dia belum petah berbicara tetapi perkataan yang kerap disebut sekarang ialah ‘akit’, iaitu sakit sambil menggosok pipinya. Dia mungkin dipukul sekitar jam 12.30 tengah hari dan disorok selama 10 jam tanpa rawatan.

“Katanya suami pengasuh menampar, tetapi doktor mengesahkan kesan birat di mata bukan akibat tamparan,” jelasnya.

Zehra turut berkongsi bahawa pengasuh berkenaan dan suaminya kini sudah ditahan polis, manakala keluarga kanak-kanak ini telah melantik peguam bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan penahanan pasangan suami isteri tersebut bagi membantu siasatan berhubung kes dera kanak-kanak berusia dua tahun itu.

Menurut beliau, laporan kejadian dibuat oleh ibu mangsa pada Jumaat lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!