Ibu ditahan letak pistol berisi peluru dalam beg sekolah anak

FLORIDA - Seorang ibu ditahan pihak berkuasa selepas menghantar anaknya ke sekolah dengan pistol berisi peluru yang disembunyikan dalam beg galas.
Insiden membimbangkan itu berlaku di Sekolah Rendah Coppergate di Middleburg, Clay County pada Rabu minggu lalu.
Kanak-kanak itu hanya menyedari keberadaan pistol dalam beg sebaik tiba di sekolah sebelum segera memaklumkan kepada gurunya.
Pihak sekolah kemudian menghubungi Pejabat Syerif Clay County (CCSO) dan sekolah diletakkan dalam status keselamatan sementara polis merampas pistol tersebut.
Siasatan mendapati ibu bapa kanak-kanak itu tidak tinggal bersama dan wanita itu, Sierra Bronner, 39, memasukkan pistol ke dalam beg galas anaknya dan mengarahkan agar ia diberikan kepada lelaki itu.
Bagaimanapun, tanpa menyedari senjata api berada dalam beg, bapa kanak-kanak terbabit telah menghantar anaknya ke sekolah.
Bronner kemudian ditahan dan didakwa atas tuduhan pengabaian kanak-kanak serta memberikan senjata api kepada kanak-kanak bawah umur.
Menurut laporan WTLV, dia kemudian dihantar ke Penjara Clay County tanpa sebarang masalah lanjut.
Serif Clay County, Michelle Cook berkata, tindakan itu adalah satu keputusan buruk yang boleh mengundang tragedi.
"Kes itu menunjukkan betapa pentingnya ibu bapa memeriksa barangan anak sebelum ke sekolah dan sentiasa berbincang mengenai perkara yang sesuai atau tidak dibawa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

