Ibu maut, MPV dinaiki bersama bayi dan empat penumpang berpusing di LPT1

MARAN - [DIKEMAS KINI] Wanita maut manakala suami, bayi dan dua lagi penumpang cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu terbabit nahas dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 148.3 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, dalam nahas kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa, Nik Nur Emylia Najwa Ismail,19, beralamat dari Gua Musang Kelantan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, suami mangsa berusia 20 tahun dilaporkan parah manakala bayi mereka berusia satu tahun dan dua penumpang berusia 17 tahun iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra, Gua Musang turut cedera.
"Pemandu SUV jenis Proton X70, seorang pesara wanita berusia 63 tahun juga dilaporkan cedera dalam nahasitu," katanya.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika MPV jenis Perodua Alza dipandu mangsa dari arah Kuantan dipercayai dalam perjalanan pulang ke Gua Musang.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa yang bekerja sendiri itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghadang jalan dan berpusing melintang di tengah laluan.
"Pada masa sama, SUV dipandu warga emas dari arah yang sama gagal mengelak lalu melanggar bahagian sisi MPV melintang di tengah-tengah jalan," katanya.
Beliau berkata, akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.
"Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut di mana salah seorang (suami mangsa) dirawat di zon merah, bayi dan dua penumpang lagi di zon kuning manakala pemandu SUV di zon hijau," katanya.
Kim Wai berkata, kemalangan meragut satu nyawa itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

