Wanita maut kereta dipandu terbabas

KULAI – Seorang wanita maut selepas terbabas ketika memandu di Lebuh Putra Utama menghala Hutan Bandar, di sini pada malam Ahad.
Menurut Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan 1 Khas Untuk Penyandang (KUP), Mohd Syafiq Rejab, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 9.22 malam.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut, pasukan operasi yang melibatkan jentera J1-60 BMK 984 bersama lima anggota telah dihantar ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 9.31 malam, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Yaris yang dipandu oleh seorang wanita berusia 25 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila wanita tersebut terbabas ketika memandu. Akibat daripada itu, wanita berkenaan tersepit dalam keretanya,” katanya.
Pihak bomba kemudiannya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan wanita tersebut. Walau bagaimanapun, wanita berkenaan disahkan maut oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi di lokasi kejadian berjaya dikawal pada jam 10.10 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.19 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
