Wanita maut nahas tiga kenderaan

JOHOR BAHRU – Seorang wanita maut selepas tersepit di tempat duduk pemandu apabila terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Bestari Indah, di sini, pada Khamis.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II M K Haridas berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang berusia 58, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
"Seramai 10 anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dan dua kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai berlaku di jalan berkenaan menghala ke Felda Ulu Tebrau. Seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu.
“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum wanita terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, beberapa mangsa lain turut terlibat dalam kemalangan itu dan telah dibawa ke hospital dengan ambulans serta dibantu orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
Ujarnya, punca kejadian dan jumlah sebenar mangsa yang cedera masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

