Kebakaran bangunan di Osaka ragut nyawa dua anggota bomba

Semburan air digunakan oleh anggota bomba untuk memadamkan kebakaran bangunan di kawasan tumpuan pelancong dan membeli-belah popular di pusat bandar Osaka pada 18 Ogos 2025. Foto AFP
Semburan air digunakan oleh anggota bomba untuk memadamkan kebakaran bangunan di kawasan tumpuan pelancong dan membeli-belah popular di pusat bandar Osaka pada 18 Ogos 2025. Foto AFP
A
A
A

OSAKA - Dua anggota bomba maut manakala empat lagi cedera dalam kebakaran sebuah bangunan pada Isnin di kawasan membeli-belah Dotombori, Osaka, lapor Agensi Berita Kyodo yang memetik polis dan pasukan bomba tempatan.

Kebakaran bermula di sebuah bangunan di kawasan tumpuan pelancong di bandar barat Jepun itu sebelum merebak ke premis bersebelahan.

Kedua-dua anggota bomba berkenaan terperangkap di dalam bangunan dan disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke hospital.

Punca kebakaran masih belum diketahui. Jabatan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 9.50 pagi.

Menurut Polis Wilayah Osaka, tiga lagi anggota bomba serta seorang wanita turut cedera tetapi tidak membahayakan nyawa dan kini dirawat di hospital.

Asap hitam tebal kelihatan keluar daripada bangunan berdekatan papan tanda neon Glico yang terkenal, dengan orang ramai termasuk pelancong berhenti untuk menyaksikan usaha anggota bomba memadamkan kebakaran.

Seorang pekerja kedai ramen berdekatan berkata, beliau segera keluar daripada premis terbabit selepas dimaklumkan polis mengenai kebakaran itu. - Bernama-Kyodo

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!