'Adik pergi dalam keadaan baik nak bangun tunai solat'

Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Lanas pada Sabtu.
Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Lanas pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU – Hasrat ahli keluarga seorang pelatih polis bantuan, Siti Norshahila Balqis Roslan, 19, untuk meraikan dirinya yang bakal menamatkan latihan pada Oktober depan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan tidak kesampaian apabila wanita itu lebih dahulu dijemput Ilahi pada Sabtu.

Susulan itu, kakaknya, Siti Norsyahadah Roslan, 22, berkata, ahli keluarga terpaksa membatalkan rumah tumpangan yang ditempah baru-baru ini selain melupakan rancangan untuk berkonvoi menaiki lima buah kereta ke pusat latihan berkenaan.

Menurutnya, perancangan itu dibuat kerana Allahyarhamah yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik rapat dengan keluarga dan pertama kali berjauhan selepas berjaya menyertai latihan di Pulapol itu pada dua minggu lalu.

Allahyarham Siti Norshahila
Allahyarham Siti Norshahila

“Semua sudah tempah siap, memang rancang nak raikan cita-cita dia bersama adik-beradik walaupun dia beritahu tak perlu susah-susah datang ramai-ramai sebab nanti dia pun nak balik.

“Tak sangka pula dia pulang dalam keadaan meninggal dunia dan akhirnya tempahan rumah tumpangan juga dibatalkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Norsyahadah berkata, adiknya ada menghubungi ibu mereka sekitar jam 10 malam padaJumaat lalu.

“Ibu guna pembesar suara, jadi semua termasuk bapa dan adik-beradik lain boleh dengar serta berbual dengan dia.

Artikel Berkaitan:

“Masa tu dia kata dia dah sihat lepas demam minggu pertama di sana dan beritahu kawan-kawan pun semua baik. Itulah kali terakhir kami dengar suara dia,” katanya.

Tambah Norsyahadah, arwah disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika bangun menunaikan solat Subuh pada jam 6.15 pagi Sabtu.

Kenangan ahli keluarga bersama Siti Norshahila dalam bulatan.
Kenangan ahli keluarga bersama Siti Norshahila dalam bulatan.

Jelasnya, sejak di bangku sekolah arwah bercita-cita mahu menjadi anggota polis dan latihan di Pulapol adalah langkah pertama sebelum ditempatkan sebagai polis bantuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kami sedih, tetap reda kerana adik pergi dalam keadaan baik nak bangun tunai solat,” katanya.

Jenazah Siti Norshahila dibawa pulang ke Kampung Hutan Pasir, Ketereh selepas selesai bedah siasat dan tiba di kediaman keluarga jam 4 pagi pada Ahad.

Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Lanas dengan diiringi tangisan keluarga serta sanak saudara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!